Sunday, 27 March 2016

SELANGOR MENCATATKAN KEDUDUKAN TERTINGGI DALAM KES PEMBANTERASAN PROGRAM KOMPUTER


Oleh Anis Malek
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin (tengah) bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Abdul Rosik Yakub (kiri) dan Pengarah Kanan Pemasaran (Asia Pasifik), Roland Chan (kanan) memberi penerangan mengenai isu perisian tanpa lesen dalam sidang media di Hotel Concorde, Shah Alam. 

SHAH ALAM: Selangor mencatatkan kedudukan tertinggi iaitu sebanyak 26 kes daripada 84 kes yang dihasilkan daripada pembanterasan program komputer salinan langgaran oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada tahun 2015.

       “Daripada 84 kes yang telah dihasilkan daripada operasi terbabit,  sebanyak 259 unit komputer dan 1,539 salinan komputer langgaran berjaya dirampas,” jelas Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin.

         Berdasarkan hasil rampasan tersebut, jumlah nilai anggaran perisian adalah sebanyak RM 16.2 juta.

      Operasi penguatkuasaan pembanterasan telah dijalankan ke atas syarikat yang menggunakan program komputer salinan langgaran dalam operasi perniagaan mereka.

        Sementara itu, Roslan juga mengumumkan  prestasi penguatkuasaan dalam operasi penangkapan perisian cetak rompak di seluruh negara pada tahun 2015 meningkat.

   “Peningkatan ini menunjukkan kesalahan yang dilakukan oleh syarikat yang menggunakan perisisan cetak rompak adalah serius,” kata Roslan.

      Menurut Roslan, sebanyak 603 kes telah dihasilkan pada tahun 2015 yang membabitkan aktiviti pembanterasan kegiatan cetak rompak terutamanya yang melibatkan aktiviti muat turun lagu dan filem tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

     “Kesalahan tersebut boleh disabitkan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan denda sebanyak RM 2 ribu hingga RM 20 ribu atau hukuman penjara 5 tahun,” jelas Roslan dalam sidang media tersebut.

    Selain itu, menurut Roslan, KPDNKK akan terus berusaha melakukan operasi membanteras cetak rompak dengan menjalinkan hubungan erat bersama pemilik hak cipta.


      “Kami pada ketika ini menjalinkan hubungan dengan The Software Alliance (BSA) dalam membanteras kegiatan cetak rompak,” tambah Roslan.

BERI PELUANG KERJA PADA BELIA KITA-AZMIN ALI

Oleh Anis Malek

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali menyeru warga belia diberikan peluang dan latihan dalam sektor pekerjaan berikutan kes pembanjiran pekerja asing dalam ucapan perasmiannya di Majlis Penganugerahan Anugerah Hijau Zon Bersih Mini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2015, kelmarin.
                “Kalau belia kita diberikan latihan dan peluang untuk menggilap potensi mereka serta dibayar gaji yang munasabah dengan keadaan ekonomi sekarang, sudah tentu mereka mampu melakukan kerja tersebut“, ujar beliau.
                Beliau berkata lagi, isu kehadiran pekerja asing yang tidak berkemahiran membanjiri negara merupakan salah satu faktor kepada isu pengangguran warga belia masa kini dan ia perlu ditangani.
                “Buruh asing sangat tertarik dengan peluang ekonomi di kawasan bandar biarpun mereka terpaksa tinggal di kawasan setinggan“, katanya lagi.           
                Selain itu, Azmin berkata di kebanyakan negara membangun, ketiadaan akses pekerjaan dan kewangan juga merupakan fator utama kepada isu pengangguran khususnya di kalangan generasi muda yang tidak dapat peluang perniagaan termasuk akses untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan.
                Oleh itu, kerajaan negeri mencari inisiatif bagi membantu penduduk di Selangor dengan mewujudkan skim mikro kredit bagi membantu peniaga kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka.
YAB Dato‘ Seri Mohamed Azmin bin Ali dalam ucapan perasmian beliau di Majlis Penganugerahan Anugerah Hijau Zon Bersih Mini MBSA 2015.

           Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan 130 juta ringgit pada tahun ini dan memberi pinjaman sebanyak 5 ribu ringgit sehingga 50 ribu  ringgit tanpa kadar faedah kepada peniaga- peniaga kecil.
                Sementara itu, majlis yang dianjurkan oleh MBSA ini merupakan sesi penyerahan anugerah kepada para pemenang bagi pertandingan Zon Mini Bersih (Minizeebee).
                Pertandingan ini mula diadakan pada tahun 2013 bertujuan untuk memupuk kesedaran terhadap kebersihan melalui penglibatan komuniti serta mempereratkan perpaduan dan permuafakatan di kalangan masyarakat di kawasan pentadbiran MBSA.

                Pertandingan ini juga merupakan usaha berterusan MBSA untuk merealisasikan usaha ke arah Shah Alam Bandaraya yang berkualiti, sejahtera, kondusif dan yang terunggul. 

Wednesday, 23 March 2016

Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mendapat persetujuan segelintir masyarakat


Oleh Anis Malek


SHAH ALAM: Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung sekatan dan pendaftaran portal berita atau blog mendapat persetujuan daripada segelintir masyarakat.

            Menurut Nurul Atikah Jusoh, 22, pelajar jurusan Komunikasi dan Pengajian Media menjelaskan dia bersetuju dengan pindaan baru ini.

            “Pindaan ini terutamanya berkaitan dengan pendaftaran portal berita atau blog dapat mengurangkan penyebaran maklumat yang tidak sahih,” katanya.

           Atikah menjelaskan lagi bahawa pendaftaran portal berita ini secara tidak langsung boleh mengelakkan keganasan persepsi terutamanya dalam golongan muda.

            “Golongan muda lebih suka menyebarkan maklumat tanpa menganalisa menerusi laman blog. Jadi, maklumat yang tersebar boleh disalah tafsirkan juga oleh pembaca yang lain,” ujarnya lagi.
Nurul Atikah Jusoh, 22, pelajar jurusan Komunikasi dan Pengajian Media melihat pindaan ini dapat memantau individu yang gemar menyampaikan maklumat yang tidak sahih menerusi blog

            Walaubagaimanapun, Nurul Izzati Arisi, 22, pelajar jurusan Komunikasi dan Pengajian Media pula berpendapat bahawa blog adalah medium yang memberi peluang kepada individu memberi pandangan.

            “Saya kurang bersetuju dengan pindaan ini sebab blog adalah medium yang digunakan oleh individu sebagai satu tempat untuk mereka memberikan pandangan. Sekiranya mereka perlu mendaftar blog mereka, ini merupakan satu proses yang leceh untuk pengguna,katanya.
Nurul Izzati Arisi, 22, pelajar jurusan KOmunikasi dan Pengajian Media kurang bersetuju dengan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

            Selain itu, Nur Syahirah Mohd Nasir, 21, pelajar jurusan Seni Bina Perancangan dan Ukur melihat bahawa pindaan tersebut akan menjadi satu bebanan kepada peniaga atas talian.

            “Setiap portal berita yang perlu didaftar menyukarkan para peniaga atas talian meningkatkan produktiviti perniagaan mereka.

            “Portal berita juga menjadi satu alternatif kepada peniaga untuk menjalankan urusan jual dan beli. Jadi, pindaan ini sudah tentu menyekat mereka dalam memajukan perniagaan, jelas Ashikin.

            Sementara itu, Ashikin berharap agar pindaan ini tidak membebankan rakyat seperti yang telah dinyatakan oleh kerajaan dalam menjelaskan bahawa pindaan ini tidak menyekat penggunaan internet.
Nur Syahirah Mohd Nasir, 21, pelajar jurusan Seni Bina Perancangan dan Ukur berharap pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak menyekat